بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه
(Dengan na`ma Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Tatu ialah tanda pada badan yang dibuat dengan melarik, mencucuk dan memasukkan warna. Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah bahawa tatu itu ialah mencucukkan jarum atau sebagainya di belakang telapak tangan, pergelangan tangan, bibir atau selainnya di tubuh badan sehingga darah mengalir. Kemudian diisi tempat itu dengan celak atau kapur tohor (kapur hidup) sehingga menjadi hijau. Tatu pada kebiasaannya dijadikan sebagai perhiasan atau adat atau kerana tujuan keagamaan dengan mengukir gambar-gambar, lambang, nama kumpulan atau sebagainya di tubuh badan. Namun pada hakikatnya, tatu itu boleh memberi kesan yang buruk kepada kesihatan orang yang bertatu. Kesan-kesannya adalah seperti berikut:-

(i) Alahan pada jenis pigmen atau pewarna yang digunakan. Simptom seperti bengkak dan gatal-gatal pada bahagian yang mempunyai kesan merah akibat mentatu.

(ii) Jangkitan penyakit Hepatitis B.

(iii) Jangkitan HIV dan Hepatitis C boleh berjangkit sekiranya



jarum yang tercemar digunakan. Kesukaran dan kesakitan dalam menghilangkan kesan tatu itu juga tidak dapat dinafikan. Antara kaedah bagi menghilangkan tatu tersebut adalah seperti berikut:-
(i) Menggunakan laser yang boleh menghuraikan pewarna kepada partikel-partikel kecil yang boleh dicerna oleh kulit.

(ii) Excision melibatkan pemotongan bahagian kulit yang mempunyai tatu.

(iii) Salabrasion yang menggunakan air garam untuk disapukan ke atas tatu bagi merosakkan kulit.


Pada zaman ini, banyak perkara-perkara yang boleh merosakkan akhlak orang Islam umpamanya dengan menjadikan tatu itu sebagai perhiasan. Ditakuti ada belia remaja yang terpengaruh dengan gejala ini. Apakah kesan mentatu itu terhadap ibadat-ibadat seperti bersuci, sembahyang dan sebagainya? Inilah persoalan yang patut diketahui.
Hukum Bertatu

Melakukan tatu itu dilaknat oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Ia adalah haram ke atas orang yang minta dibuatkan tatu dan orang yang membuatkan tatu dan ia tergolong dalam dosa-dosa besar. Diriwayatkan daripada‘Abdullah Radhiallahu ‘anhu, katanya:

Maksudnya: “Allah melaknat perempuan-perempuan yang membuat tatu, perempuan-perempuan yang meminta dirinya untuk ditatu, perempuan - perempuan yang meminta bulu keningnya dibuang dan perempuan-perempuan yang mengikir giginya,(semua ini semata-mata) untuk kecantikan iaitu perempuan-perempuan yang mengubah ciptaan Allah Ta‘ala. (Setelah itu
Ummu Ya‘kub bertanya kepada ‘Abdullah Radhiallahu ‘anhu mengenai apa hadits yang beliau melaknat perkara tersebut, beliau menjawab: “Bagaimana aku tidak melaknat sesiapa yang dilaknat oleh Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sedang ia ada dalam Kitab Allah. { (Firman Allah Ta‘ala dalam surah al-Hasyr ayat 7 yang tafsirnya): “Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam kepada kamu maka terimalah serta amalkan }.”
(Hadits riwayat al-Bukhari)
Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma katanya:
Maksudnya: “Bahawanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat orang yang membuat cemara (orang yang menyambungkan rambut), orang yang minta dicemarakan (orang yang minta disambungkan rambut), orang yang membuat tatu dan orang yang minta dibuatkan tatu.”

(Hadits riwayat Muslim)
Hadits di atas jelas menunjukkan bahawa perempuan yang bertatu sama ada orang yang membuat tatu ataupun orang yang minta dibuatkan tatu semata-mata kerana kecantikan adalah dilaknat oleh Allah Subahanhu wa Ta‘ala dan RasulNya.

Larangan bertatu itu tidaklah terbatas kepada perempuan sahaja bahkan kepada lelaki juga. Adapun jika kanak-kanak atau orang gila dibuatkan tatu kepada mereka, maka orang itu akan menanggung dosa perbuatannya, sementara kanak-kanak atau orang gila tersebut tidaklah berdosa disebabkan belum ada taklif (kewajipan mentaati suruhan dan larangan agama) ke atas mereka.



Tatu Di Tubuh Badan Adakah Wajib Dihilangkan?
Bahawa hukum bertatu itu adalah haram. Namun bagaimana pula hukum menghilangkan tatu di tubuh badan, adakah ia wajib ataupun tidak? Dalam perkara ini ada beberapa keadaan seperti berikut:-

(i) Orang yang mukallaf (baligh dan berakal) bertatu dengan kehendak atau kerelaannya. Jika dia dapat menghilangkan tatu itu dengan perubatan atau dengan cara pembedahan walau menurut doktor ia mendatangkan mudharat seperti hilang anggota atau fungsinya atau menyebabkan keadaan anggota zahirnya buruk dan jelik akan tetapi dia tidak takut akan mudharat tersebut, maka wajib dia menghilangkan tatu itu. Adapun jika dia takut akan mudharat tersebut, maka tidaklah diwajibkan ke atasnya menghilangkan tatu itu dan dia tidak akan berdosa setelah dia bertaubat.

(ii) Orang yang dipaksa untuk bertatu bukan kehendak atau kerelaannya adalah tidak diwajibkan dia menghilangkan tatu di tubuh badannya itu.

(iii) Orang yang belum ada taklif ke atasnya seperti kanak-kanak dan orang gila. Jika seseorang itu bertatu ketika keadaannya belum ada taklif maka tidaklah diwajibkan ke atasnya menghilangkan tatu tersebut.

(iv) Orang kafir yang memeluk agama Islam. Jika dia bertatu sebelum Islamnya adalah diwajibkan menghilangkan tatu tersebut, sebagaimana keadaan orang yang mukallaf bahagian(i) di atas.


Kesan Tatu Dalam Ibadat Adapun kesan kepada peribadatan orang yang bertatu itu, antara lain seperti berikut:-

(i) Bersuci
Orang yang diwajibkan menghilangkan tatunya, jika dia bersuci sedang tatunya belum hilang maka tidak akan terangkat hadatsnya itu. Ini kerana anggota-anggota yang ditatunya itu mengandungi najis disebabkan darah yang bercampur dengan celak tatu tersebut. Adapun orang yang tidak diwajibkan menghilangkan tatunya, jika dia bersuci maka terangkat hadatsnya. Ini kerana anggotanya yang ada tatu itu dimaafkan najisnya.

(ii) Sembahyang
Orang yang diwajibkan menghilangkan tatunya, jika diamengerjakan sembahyang sedang tatunya belum hilang maka tidak sah sembahyangnya itu. Demikian juga tidak sah apabila dia menjadi imam. Adapun orang yang tidak diwajibkan menghilangkan tatunya, adalah sah sembahyangnya dan dia boleh menjadi imam.

(iii) Urusan Jenazah
Apabila orang yang diwajibkan menghilangkan tatunya itu meninggal dunia sebelum sempat dia menghilangkan tatunya, maka tidak wajib bahkan haram dihilangkan tatu mayat itu. Ini kerana bagi menjaga kehormatan mayat tersebut dan kerana kewajipannya menghilangkan tatu itu bagi mengerjakan sembahyang telahpun luput.

(iv) Kesaksian
Salah satu syarat saksi itu hendaklah mempunyai sifat al-‘adalah ‘adalah iaitu tidak fasiq. Orang yang fasiq itu adalah orang yang melakukan dosa-dosa besar atau berterusan melakukan dosa-dosa kecil. Oleh yang demikian, orang yang fasiq tidak diterima persaksiannya melainkan setelah bertaubat menyesali perbuatannya itu.

(v) Wali nikah
Salah satu syarat wali nikah itu hendaklah juga mempunyai sifat al-‘adalah iaitu tidak fasiq. Oleh yang demikian, orang yang fasiq tidak sah menjadi wali nikah melainkan setelah bertaubat.
Oleh itu, perlulah diambil peringatan bahawa bertatu itu bukan sahaja dilarang oleh syara‘ bahkan ia juga dilaknat oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan RasulNya. Seseorang yang dilaknat akan berada jauh daripada mendapat rahmat, taufiq, petunjuk Allah dan jauh daripada segala kebaikan.

Janganlah hanya disebabkan kecantikan atau trend kehidupan terkini, seseorang itu sanggup melakukan perbuatan dosa-dosa besar dengan mengetepikan suruhan dan larangan Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Ketahuilah bahawa azab seksa Allah Subhanahu wa Ta‘ala itu amat pedih.