UMAT Islam wajib yakin dan percaya kepada wujudnya hari akhirat, salah satu daripada rukun iman. Akan gugur iman seseorang yang enggan mengaku dan mempercayai kewujudan rukun iman yang ditetapkan Allah.

Pada hari akhirat kelak, semua manusia yang menghuni alam ini akan dibangkitkan kembali untuk dibawa ke muka pengadilan Allah di mana kita akan dihisab. Segala gerak kerja kita semasa di dunia dihitung satu persatu dengan seadil-adilnya oleh Allah.

Selepas itu barulah hukuman dijatuhkan sama ada kita akan ditempatkan di syurga atau di neraka. Berbahagialah mereka yang menjadi penghuni syurga dan menderitalah mereka yang di tempatkan di neraka.

Menyedari hakikat bahawa segala gerak kerja dan tindak tanduk semasa di dunia ini menjadi perkiraan Allah dalam menentukan hidup di akhirat kelak, maka rugilah jika kita membiarkan peluang yang terbuka melakukan kerja ditegah Allah dan meninggalkan yang disuruh-Nya.

Sesungguhnya hidup manusia di dunia ini tidak akan kekal buat selama-lamanya. Saban hari kita berdepan dengan kematian baik bayi yang masih dalam kandungan, kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga tua.

Bertitik tolak daripada kesedaran bahawa hidup di dunia tidak akan kekal, timbul persoalan bilakah ajal akan menjengah dan pastinya tiada jawapan untuk soalan itu kerana mati adalah rahsia Allah.

Oleh kerana mati menjadi rahsia Allah, maka manusia perlu sentiasa bersedia.

Bagaimanapun, itu tidak bermakna manusia perlu melupakan kehidupan dunia kerana Islam tidak mencegah umatnya menikmati kehidupan di dunia dengan segala nikmat dikurniakan Allah tetapi hendaklah jangan lupa mengejar akhirat.

Allah berfirman yang bermaksud: “Maka apabila telah selesai mengerjakan sembahyang (Jumaat) maka hendaklah’ kamu bertebaran di muka bumi dan carilah kurnia (rezeki) Allah dan ingatlah akan Allah banyak-banyak, mudah-mudahan kamu beroleh kemenangan.”

Perkara pokok yang menjadi bekalan untuk hidup di akhirat ialah amalan seperti solat, berpuasa, menunaikan zakat, mengerjakan haji dan amalan lain yang boleh mendekatkan manusia kepada Allah untuk mendapatkan keredaan-Nya.

Jelaslah bekalan untuk hidup di akhirat hendaklah disediakan di dunia lagi kerana di akhirat nanti kita tidak perlu bekerja lagi untuk meneruskan hidup.

Namun, apabila meneliti perlakuan dan corak hidup setengah manusia yang menghuni alam ini, kita dapati ada yang bertindak seolah-olah mereka tidak akan mati dan kekal hidup buat selam-lamanya.

Ada antara mereka yang bebas melakukan apa saja mengikut kata hati. Mereka tidak menghiraukan sama ada sesuatu yang mereka lakukan itu halal atau haram, baik atau buruk. Hidup mereka mengikut tuntutan nafsu.

Soal dosa dan pahala, syurga dan neraka, pembalasan di hari akhirat seakan tiada dalam kamus hidup mereka menyebabkan mereka sewenang-wenangnya meninggalkan ajaran Islam.

Keadaan ini menjadi lebih buruk lagi apabila mereka didedahkan dengan corak hidup serba moden dewasa ini. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan menyebabkan berlakunya gejala negatif yang berleluasa hari ini.



Jika direnung dan dibuat satu analisis terperinci mengenai purata masa yang kita sumbangkan untuk kerja akhirat berbanding kerja keduniaan, maka kita dapati satu kenyataan menyedihkan kerana apa yang kita kerjakan tidak sepadan untuk menjadikan akhirat tempat untuk hidup buat selam-lamanya.


Setiap orang memerlukan purata enam jam sehari untuk tidur dan menggunakan paling kurang lapan jam bekerja untuk mencari nafkah. Untuk makan, mandi, masa ke tempat kerja, membaca dan berhibur paling kurang kita menggunakan empat jam sehari.

Keseluruhan itu, sudah lupus 18 jam masa digunakan untuk kerja keduniaan. Baki enam jam lagi itu pula tidak semuanya digunakan untuk beramal dan beribadah. Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa paling banyak kita hanya menggunakan empat jam saja untuk mendampingi Allah setiap hari.



Justeru, dalam tempoh 50 tahun itu hanya kira-kira sembilan tahun diluangkan untuk kerja akhirat. Bagaimana kita yakin tempoh itu mencukupi untuk melakukan segala persediaan bagi menghadapi kehidupan di akhirat nanti.



Oleh itu, berwaspadalah dalam menempuh liku-liku hidup seharian. Hisablah diri kita sebelum kita melalui proses perhitungan di depan Allah kerana dengan berbuat demikian, kita akan sentiasa ingat tujuan manusia di jadikan dan ke mana penghujung kehidupannya.