tOLOng KLIK ya!!!

Followers

TINGGALKAN LINK YA!!!

KLIK KLIK YA

Jumaat, 26 Jun 2009

Bahaya Murung..

PERWATAKANNYA sentiasa ceria, murah senyuman dan ramah. Di pejabat dia pekerja contoh, tangkas berfikir dan kerjanya dibereskan sebelum jam enam petang.

Aktivitinya selepas waktu pejabat juga banyak, boleh dikatakan hampir setiap malam ada saja perjumpaan dengan rakan.

Namun tiba-tiba dia menghilang. Apabila seorang rakan memberitahu dia tidak datang kerja akibat kemurungan, semua orang terkejut. Tiada siapa menyangka orang sepertinya yang sentiasa kelihatan bersemangat dan ceria boleh mengalami kemurungan.

Dia bijak menyembunyikan kesedihan. Saat paling menyedihkan dan menekan perasaan adalah apabila balik ke rumah, terutama selepas berpisah dengan isterinya. Sukar baginya menerima hakikat orang tersayang sanggup meninggalkannya untuk hidup bersama rakan baiknya.




Bekerja keras, menghabiskan masa di pejabat atau bersama rakan adalah cara melindungi kesedihan. Kesedihannya terkunci dalam hati, jauh daripada pengetahuan keluarga dan teman rapat.

Selain menganggap masalah itu terlalu peribadi, dia tidak mahu dilihat sebagai lelaki lemah, apatah lagi di pejabat dia menjawat jawatan tinggi. Namun dia tidak sedar, keengganannya berkongsi masalah itu memakan diri sendiri.

Masih ramai beranggapan kemurungan berpunca daripada kelemahan jiwa. Malah, ada pengamal kesihatan menganggap kemurungan bukan isu besar kerana bagi mereka semua orang pernah mengalami perasaan sedih dan tanggapan ini menyebabkan masalah kemurungan semakin serius.

Menurut Ketua Jabatan Perubatan Psikologi, Pusat Pakar Universiti Malaya, Profesor Mohamad Hussain Habil, kemurungan disebabkan berlaku gangguan pada keseimbangan bahan kimia otak (serotonin dan norepinefrin) yang mengawal emosi kita.

Kesedihan kemurungan tidak sama dengan kesedihan biasa yang dialami kebanyakan orang. Kesedihan biasa akan hilang dalam masa dua atau tiga hari tetapi kesedihan kemurungan boleh berlarutan melebihi dua minggu, dan bagi kes serius ia menyebabkan individu murung berasa dirinya tidak berguna serta hilang keinginan untuk meneruskan hidup.

“Biasanya kemurungan disebabkan pelbagai faktor dan lebih banyak kes membabitkan wanita pada nisbah dua kes wanita kepada satu kes bagi lelaki. Gejala kemurungan menyerupai kesedihan biasa tetapi ia berpanjangan, menjadi semakin teruk dan menjejaskan fungsi harian.

“Apabila ia terjadi, seseorang itu mula kehilangan keghairahan atau semangat untuk hidup. Malah untuk melalui satu-satu hari itu juga dirasakan sukar.

“Jika anda mula mengalami gejala seperti ini atau menyedari ada ahli keluarga menunjukkan tanda kemurungan, segera dapatkan rawatan.

“Kemurungan adalah perkara serius tetapi ramai tidak bersedia membincangkannya kerana bimbang apabila membuka mulut menceritakan masalah, mereka dianggap gila atau mulai tidak siuman.

“Pesakit juga bimbang jika majikan tahu perkara itu, mereka mungkin kehilangan kerja kerana masih banyak majikan tidak faham individu murung masih boleh bekerja dengan baik jika mendapat rawatan.

“Lebih malang jika keluarga tidak boleh menerima hakikat ada ahli mereka mengalami kemurungan dan menyebabkan pesakit tidak mendapat rawatan.

“Ini mungkin disebabkan sikap tidak mengambil tahu atau bimbang dengan tanggapan masyarakat,” katanya ketika pelancaran kempen Dialog: Kesan Sokongan dan Pemulihan (SNRI) anjuran bersama Wyeth Malaysia Sdn Bhd dan Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA). Hadir sama Ketua Pegawai Perhubungan Korporat dan Awam Wyeth Malaysia, Rohaya Mamat.

Presiden MPA, Dr Yen Teck Hoe, berkata kemurungan adalah bentuk gangguan emosi paling biasa. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kemurungan adalah penyakit keempat paling serius di dunia yang boleh melumpuhkan jiwa seseorang.

Kadar kelaziman kemurungan di rantau Asia Pasifik, termasuk Malaysia, ialah antara lapan hingga 10 peratus daripada jumlah penduduk.

Yang membimbangkan, sejak akhir-akhir ini ramai pesakit adalah golongan muda, termasuk remaja. Malah WHO menganggarkan kadar kematian akibat bunuh diri di rantau Asia Pasifik lebih tinggi berbanding kehilangan nyawa disebabkan tuberkulosis.

Semakin tinggi kadar pemangkin tekanan, semakin banyak kes kemurungan dilaporkan. Kajian mendapati kira-kira sembilan peratus rakyat Malaysia mengalami kemurungan tahap serius sehingga ada keinginan membunuh diri.



Dr Yen berkata, pengesanan seseorang mengalami kemurungan hanya boleh dibuat jika pesakit mengalami sekurang-kurangnya lima tanda dalam tempoh sesingkat dua minggu. Tanda itu pula mestilah memberi kesan besar terhadap aspek sosial dan pekerjaan seseorang.

Kemurungan dialami lelaki berbeza dengan kemurungan wanita kerana tekanan hidup tidak sama. Lelaki murung biasanya bersikap pemarah, agresif dan mudah terganggu. Wanita murung pula menunjukkan emosi tidak stabil, menjadi pendiam, mengasingkan diri dan memendam perasaan.

Biasanya kemurungan disebabkan gabungan beberapa faktor. Antara faktor yang boleh menyumbang kepada kemurungan ialah faktor psikologi (tekanan daripada sesuatu peristiwa atau persekitaran) dan faktor genetik (rasa rendah diri atau menghidap penyakit fizikal yang kronik).

Namun isu lebih besar ialah kesediaan mendapat rawatan kerana kemurungan bukan saja menjejaskan fungsi seseorang, tetapi turut mempengaruhi kualiti hidup seisi keluarga. Jika wanita murung, fungsinya sebagai pekerja, isteri dan ibu terjejas.

Kaedah terbaik menangani kemurungan ialah mendapatkan rawatan secara menyeluruh melalui pengambilan ubat, kaunseling dan paling penting berkomunikasi sama ada dengan doktor, ahli keluarga atau rakan. Terapi gabungan ini dapat membantu lebih 85 peratus pesakit kembali menjalani kehidupan normal.

Pun begitu, cabaran besar ialah memastikan pesakit meneruskan rawatan. Kajian menunjukkan lebih 40 peratus pesakit berhenti mengambil ubat anti kemurungan selepas tiga bulan. Kebanyakannya berputus asa kerana kurang komunikasi efektif antara pesakit dan doktor; kurang sokongan dan pemahaman keluarga; kurang pengetahuan asas mengenai penyakit dan perubatan serta kurang keyakinan diri mengurus kesan sampingan ubat.

“Ramai anggap ubat anti kemurungan menyebabkan ketagihan. Salah faham mengenai ubat juga mengakibatkan kebanyakan pesakit berhenti mengambil ubat tanpa berbincang dengan doktor.

“Ubat anti kemurungan perlu diambil dalam satu tempoh tertentu kerana biasanya ia mengambil masa beberapa minggu untuk melihat kesannya. Bagi kemurungan peringkat awal, ubat perlu diambil selama tiga hingga enam bulan; enam bulan hingga dua tahun (kemurungan peringkat sederhana) dan lebih dua tahun jika pesakit mengalami kemurungan serius.

“Kajian membuktikan pengambilan ubat mampu mengikut jadual dapat memberi manfaat kepada pesakit. Pesakit yang berhenti mengambil ubat sebelum tamat tempoh rawatan berisiko mengalami kemurungan berulang.

“Berbincang dengan doktor jika mahu berhenti mengambil ubat kerana tidak tahan dengan kesan sampingan. Usah harap ubat berkesan 100 peratus kerana tindak balas badan setiap orang berbeza. Jika ubat tidak berkesan, jumpa balik doktor sama dan dapatkan maklumat mengenainya. Usah asyik bertukar doktor dan mengumpul ubat kerana anda akan mengalami kesan sampingan lebih banyak,” katanya.

Menurutnya, kaedah terbaik merawat kemurungan ialah mendapat rawatan seawal mungkin dan menggalakkan komunikasi antara pesakit dengan orang tersayang dan ahli keluarga kerana ia boleh mengurangkan tekanan.

Kaedah berkenaan juga mampu meningkatkan kefahaman ahli keluarga terhadap penyakit kemurungan. Kekurangan sokongan dan komunikasi meningkatkan risiko pesakit mengalami kemurungan berulang sejurus selepas rawatan atau beberapa tahun kemudian.

Untuk membantu pesakit kemurungan, Wyeth dengan kerjasama MPA melancarkan Buku Panduan Pesakit Venlafaxine dan tiga siri risalah mengenai rawatan serta pengurusan kemurungan yang boleh didapati di semua klinik dan hospital di seluruh negara.

Untuk keterangan lanjut mengenai kemurungan dan program SNRI, sila layari laman web www.psychiatry-malaysia.org.



>Tanda-tanda

> Emosi negatif dan rasa sedih berpanjangan

> Perasaan tidak menentu, sensitif, resah dan keliru

> Hilang minat dan rasa seronok

> Hilang minat terhadap hubungan seks

> Letih

> Hilang selera makan dan berat badan turun mendadak

> Mengalami gangguan tidur (sama ada sukar tidur atau terlalu banyak tidur)

> Sukar menumpukan perhatian

> Rasa kesunyian

> Ada perasaan negatif: hilang harapan, berasa tidak berguna, bersalah dan ingin bunuh diri

> Alami gejala fizikal: sakit belakang dan kepala, pening, masalah perut, dada berdebar, seluruh badan terasa sakit.

0 comments:

 

Template by Maya