Buah mangga terdapat dalam pelbagai saiz dan bentuk mengikut klon. Kulitnya berwarna hijau ke kuning atau merah ketika masak manakala isinya berwarna kuning pucat hingga ke oren . Setiap buah mengandungi biji yang dilitupi endokap bersabut keras. Kebanyakan jenis mangga di Asia Tenggara terdiri dari poliembryinik iaitu mengeluarkan beberapa biji dari satu buah.
Mangga juga merupakan sumber beta-karotin, kalsium dan vitamin C. Beta-karotin adalah zat di dalam tubuh yang akan diubah menjadi vitamin A (zat gizi yang penting untuk fungsi retina). Beta-karotin (dan vitamin C) juga tergolong dalam anti-oksida, senyawa yang dapat memberikan perlindungan terhadap kanser kerana dapat meneutralkan radikal bebas. Radikal bebas adalah molekul-molekul tak stabil yang dihasilkan oleh pelbagai proses kimia normal tubuh, radiasi matahari atau kosmis, asap rokok dan pengaruh-pengaruh persekitaran lain. Zat-zat gizi anti-oksida, vitamin C memiliki fungsi menjaga dan memacu kesihatan pembuluh-pembuluh darah, kesihatan gigi dan gusi. Ia membantu penyerapan zat besi dan dapat menggelakkan produksi natrosamin iaitu satu zat pemicu kanser .
Mangga bukanlah jenis pokok yang sukar untuk ditanam. Kebiasaannya ia ditanam secara pembiakan tampang, tut atau kaedah klip (''cleft method'') supaya pokok yang ditanam akan menyerupai pokok asal dan mengeluarkan hasil dengan cepat. Penanaman anak benih harus dilakukan berhati-hati agar tidak mencederakan sistem akarnya. Mangga sesuai ditanam dalam cuaca kering yang agak panjang (di antara 2 - 4 bulan) dan ketika suhu berada sekitar 24 - 30 darjah C.
Bagi mendapatkan buah yang berkualiti dan mengurangkan penggunaan bahan kimia, semasa buah sebesar ibu jari, bungkuskan dengan kertas-kertas suratkhabar lama seperti prosedur yang biasa dilakukan. Pegurusan air sangat penting ketika musim kemarau pada tahun-tahun pertama pertumbuhan (''juvenile phase'') dan semasa pembesaran buah. Hujan diperlukan ketika berbunga dan pembentukan buah. Bagaimanapun, pokok tidak digalakkan diairkan semasa berbunga dan semasa buah sudah matang (''ripening stages''). Mangga mengambil masa 13 - 16 minggu untuk matang dari masa pembentukan buah bergantung pada klon. Mangga yang telah dipetik boleh disimpan selama 4 hingga 9 minggu pada suhu 9 - 10 darjah C, manakala buah yang masak boleh disimpan 4 hingga 7 hari dalam suhu 18 - 21 darjah C.
0 comments:
Catat Ulasan