tOLOng KLIK ya!!!

Followers

TINGGALKAN LINK YA!!!

KLIK KLIK YA

Sabtu, 16 Mei 2009

Pewaris Baru Raja Automotif


TIADA yang tidak mengenali Kumpulan Naza, bahkan ia sering dikaitkan sebagai lambang kejayaan bumiputera di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB). Bermula sebagai pembekal kereta melalui Permit Import (AP), Naza yang ditubuhkan pada tahun 1975 pesat berkembang di bawah peneraju utama Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin sehingga meliputi sektor hartanah dan perhotelan. Kumpulan Naza juga merupakan pengimport dan pengedar utama kenderaan jenama mewah seperti Ferrari, Peugeot dan Brabus.

Namun kematian beliau yang terkenal sebagai raja automotif pada 2 Mei tahun lalu menimbulkan tanda tanya terhadap masa depan Kumpulan Naza terhadap keupayaannya mengekalkan legasi yang ditinggalkan terutamanya ketika kemelut ekonomi semasa dan terdapat dakwaan berlakunya pertikaian dalam keluarga merebut empayar perniagaan yang bernilai berbilion ringgit.

‘‘Tidak benar dakwaan berlakunya perebutan kuasa...Kami juga mempunyai kedudukan kewangan yang mantap,’’ kata pewaris baru Kumpulan Naza, SM Nasarudin, 26, anak kedua Nasimuddin. Beliau menafikan syarikat itu dirundung masalah tetapi sebaliknya bersedia melangkah ke hadapan untuk merealisasikan impian arwah bapanya menghasilkan kereta buatan tempatan sepenuhnya.

Dalam temu bual bersama-sama wartawan Utusan Malaysia, MOWARDI MAHMUD, AINUL ASNIERA AHSAN dan SARAH NADLIN ROHIM, Nasarudin memperkatakan pengalaman beliau menguruskannya dan rancangan masa depan..

UTUSAN: Apa perasaan saudara sejak mengambil alih tampuk kepimpinan Kumpulan Naza?

NASARUDIN : Secara jujurnya ia merupakan satu penghormatan kepada saya kerana dipilih meneraju syarikat ini. Saya mempunyai empat orang adik beradik, keluarga dan pakcik di belakang saya. Cabaran utama yang saya hadapi ketika mula-mula menerajui Kumpulan Naza adalah untuk meyakinkan kepada orang ramai kerana saya masih terlalu muda untuk mengetuai sebuah syarikat yang besar, tetapi orang di sekeliling saya sangat professional.

Bagaimana saudara melihat persepsi orang ramai terhadap anda ketika mula-mula menerajui syarikat?

Semasa arwah bapa (Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin) pergi ke Los Angeles, Amerika Syarikat untuk mendapatkan rawatan (penyakit), saya dilantik sebagai pemangku Pengarah Urusan. Kakitangan syarikat sudah mengetahui yang saya bakal mengambil alih jawatan tersebut. Tetapi orang ramai selalu memberitahu saya sama ada saya seorang yang bertuah atau kurang bernasib baik untuk menerima jawatan ini. Saya mungkin kurang bernasib baik kerana pada usia yang muda saya terpaksa mengetuai syarikat besar yang mempunyai lebih 4,000 pekerja. Saya juga mungkin bertuah kerana mempunyai peluang meneraju syarikat yang besar. Saya mengambil cabaran itu dan menyukainya.

Jadi saudara sudah sememangnya bersedia untuk menerima tanggungjawab itu sejak awal lagi?

Saya telah bekerja dengan arwah bapa sejak empat tahun lalu selepas menamatkan pengajian, jadi sehingga satu tahap, saya sudah mengetahui lebih awal bakal mengambil alih. Namun ia (pengalaman baru) tidak sama seperti pengalaman yang saya lalui sebelum ini. Saya tahu ia adalah tanggungjawab yang besar, tetapi saya sudah bersedia memikul amanah berat ini.

Bagaimanakah cara arwah Tan Sri Nasimuddin menguruskan Kumpulan Naza?

Arwah mengurus sendiri. Beliau mempunyai orang yang dipercayai untuk membawa misi syarikat. Beliau juga sangat tegas dan sentiasa memastikan setiap orang yang dipilih boleh melaksanakan kerja mereka. Bapa saya seorang yang tenang dalam keadaan yang mencabar, tetapi beliau mempunyai kelebihan dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan.

Bagaimana saudara membandingkan cara pengurusan arwah Tan Sri Nasimuddin dengan saudara sendiri?

Saya juga merupakan seorang yang tenang dan saya akan mencontohi arwah tetapi pada masa yang sama, saya juga mempunyai cara tersendiri. Saya sangat bersyukur telah menghabiskan empat tahun bersama arwah untuk menimba pengalaman dan pengetahuan dalam mengemudi Kumpulan Naza.

Tidakkah tanggungjawab yang dipikul sekarang terlalu besar buat saudara?

Ya, betul. Ia adalah tanggungjawab yang besar. Saya tahu orang ramai sedang memerhatikan saya kerana usia saya masih muda dan mengetuai syarikat yang besar. Banyak jangkaan yang perlu saya penuhi. Malah, sekarang ini sebahagian besar masa muda saya juga terpaksa dikorbankan.

Apakah persepsi rakan niaga Kumpulan Naza, khususnya pihak asing?

Saya bertuah kerana kebanyakan mereka telah mengenali dan pernah berurus niaga dengan saya sejak arwah bapa masih hidup. Arwah bapa juga telah mengajar saya dengan baik sekali.

Terdapat dakwaan mengatakan berlakunya perselisihan faham dalam keluarga tentang pemilihan saudara?

Tidak sama sekali. Pendapat kami (anggota keluarga lain) mungkin berbeza tetapi pada masa yang sama kami mempunyai visi dan objektif sama untuk memajukan syarikat. Saya mempercayai mereka (adik beradik lain) untuk menguruskan portfolio masing-masing.

Di kalangan lima beradik, kenapa saudara menjadi pilihan untuk menerajui Kumpulan Naza?

Ia merupakan keputusan dan pilihan arwah bapa dan kami adik beradik menerima keputusan tersebut.

Boleh saudara nyatakan portfolio mereka?

SM Faisal, 30, (abang sulung) menjaga perniagaan permotoran, SM Faliq, 24, menguruskan hartanah, Nur Diana, 28, memegang portfolio makanan dan Nur Nadia, 23, pula menguruskan perniagaan perhotelan.

Apakah falsafah perniagaan saudara?

Saya percaya kepada pengurusan secara makro yang mana kita perlu tahu selok-belok perniagaan. Saya kini mula mengatur strategi perniagaan jangka panjang dan mahu memastikan kakitangan berkualiti.

Setakat ini, apakah fokus utama saudara?

Fokus utama adalah pembangunan modal insan untuk menjadikan Kumpulan Naza sebagai syarikat terulung di Malaysia. Kami mahu menarik lepasan universiti untuk bersama syarikat.

Seperti yang dikatakan mengemudi syarikat besar bukan mudah, jadi bagaimana saudara memperuntukkan masa menguruskannya?

Selepas mengambil alih syarikat sejak Mei tahun lalu, setiap dua minggu dalam sebulan saya akan ke luar negara untuk berjumpa pelanggan dan rakan strategik. Cuma mulai awal tahun ini, saya memperuntukkan lebih masa di dalam syarikat sehingga kadang-kadang menghabiskan masa sehingga pukul 3 hingga 4 pagi di pejabat. Saya terpaksa mengorbankan masa bersama-sama kawan-kawan dan keluarga.

Apakah yang dirancang saudara bagi memastikan empayar perniagaan ini bertahan untuk generasi akan datang?

Saya berkesempatan menemui peneraju pengurusan Kumpulan Jardine Matheson (Kumpulan berpengaruh di Asia) dan bertanya bagaimana keluarga mereka melakukannya dan kami (Kumpulan Naza) akan meletakkan struktur yang baik bagi memastikan perniagaan ini dapat dikekalkan.

Apakah keputusan yang terbesar pernah saudara ambil setakat ini?

Keputusan terbesar adalah menerima tanggungjawab mengetuai Kumpulan Naza kerana dengan usia masih muda saya terpaksa mengorbankan beberapa perkara.

Sebelum ini Tan Sri Nasimuddin banyak mempengaruhi keputusan saudara. Jadi sekarang siapa pula?

Setiap keputusan di buat oleh saya sendiri berdasarkan nasihat yang pernah diberikan oleh arwah bapa dengan memastikan keputusan tersebut bukan kerana terpaksa tetapi setelah menilai setiap aspek yang diperlukan.

Apakah bentuk legasi yang saudara harapkan bagi Kumpulan Naza?

Sebagai orang yang terlibat dalam industri automotif, saya ingin capai apa yang diinginkan oleh arwah bapa. Kami ingin menjadi syarikat automotif terbaik kerana kepelbagaian perniagaan dan akan terus berkembang.

Setakat ini adakah perubahan yang telah saudara lakukan?

Buat masa ini tiada sebarang perubahan, kami masih meneruskan misi syarikat.

Adakah anda berpuas hati dengan pencapaian semasa Kumpulan Naza?

Masih belum berpuas hati kerana impian saya adalah tinggi tetapi kami sedang bergerak ke hadapan.

0 comments:

 

Template by Maya