TINGGALKAN LINK YA!!!
KLIK KLIK YA
Isnin, 15 Jun 2009
Kewajipan Berwasiat, Bertaubat Sebelum Tidur..
Imam Ghazali menyatakan; bahawa doa kebanyakan para nabi a.s., ialah berdoa seperti berikut (yang bermaksud): "Ya Allah Tuhanku, aku minta ampun kepada-Mu daripada sebarang dosa yang aku telah bertaubat, tapi setelah itu aku lakukan semula. Aku minta ampun daripada semua yang telah aku janji dalam hati kepada-Mu tetapi tidak aku laksanakan.
"Aku bertaubat daripada dosa waktu aku ibadat untuk-Mu, tetapi tiba-tiba mencelah sesuatu menyebabkan ibadah berubah kepada kerana yang lain daripada-Mu.
"Aku mohon ampun kepada-Mu kerana nikmat yang Engkau kurniakan itu sepatutnya untuk mentaati-Mu, sebaliknya telah aku gunakannya untuk ingkar suruhan-Mu.
"Wahai Tuhan yang Maha Mengetahui sama ada yang zahir atau yang terselindung, aku minta ampun daripada sebarang dosa yang aku lakukan pada siang hari atau pada malam gelap di tempat tersembunyi, ketika beramai atau ketika seorang diri, ampunilah daku wahai Tuhan yang Maha Lemah Lembut."
Demikian doa dan istighfar para nabi sejak daripada Nabi Adam a.s. hingga ke Nabi Muhammad s.a..w., telah dinukilkan oleh Imam Ghazali yang dimuatkan dalam kitabnya untuk mendapat perhatian dan menjadi amalan umat akhir zaman, yang persoalannya sangat penting dan bernilai tinggi.
Kini akan membincangkan mengenai adab tidur. Meskipun tidur itu sebagai perkara tabiei kebiasaan bagi manusia, sebagaimana makan minum dan naluri lain seumpamanya, semua tuntutan naluri tabiei dan segala gerak-geri itu, boleh dijadikan sumber pahala untuk bekalan ahirat.
Tidur merupakan kesinambungan daripada sifat mengantuk. Sesungguhnya sifat mengantuk itu bukan sesuatu yang dicari atau diusahakan, tetapi ia terjadi setelah tubuh letih akibat aktiviti kerja sepanjang hari.
Islam mengajar manusia sama ada perkara yang diikhtiar atau tidak jika seseorang itu tahu, ia akan jadi bekalan hidup di akhirat.
Tidur setelah didahului rasa mengantuk kurniaan Tuhan, akan menjadikan tubuh rehat dan cergas segar semula. Di akhirat ada habuan bagi manusia itu.
Justeru Islam mengajar peraturan dan adab tidur, supaya tidur menjadi suatu ibadah yang berfaedah kepada manusia di dunia dan akhirat.
Peraturan dan adab yang pertama, ialah bersihkan mulut dengan bersugi (gosok gigi) dan bersuci serta berwuduk.
Islam bukan saja suruh berwuduk ketika hendak menunaikan solat atau membaca al-Quran, bahkan Islam anjurkan berwuduk itu mengajar manusia agar tidur dalam keadaan beribadat kepada Allah SWT.
Seseorang yang berwuduk andainya meninggal dunia semasa tidur, maka matinya dalam keadaan suci bersih. Tiada yang boleh beri jaminan bahawa selepas tidur dia akan bernafas semula untuk meneruskan hidupnya.
Oleh itu apabila seseorang hendak tidur dia hendaklah bersiap, kerana dia sendiripun tidak tahu masih adakah baki umurnya selepas tidur.
Setelah bersugi dan berwuduk mereka dikehendaki bersiap menyediakan air (khusus di tempat yang sukar air) untuk bersugi dan berwuduk selepas bangun pagi esoknya.
Jika dia dikurniakan umur lagi, persiapan itu untuk mengulangi keperluan bersugi dan berwuduk sebagai sunnah Nabi s.a.w.
Sebelum meletakkan kepala atas bantal untuk tidur, hendaklah dia menaruh azam dalam hati dengan niat untuk bangun menunaikan ibadat solat tahajud dan witir juga ibadah selainnya.
Kalau tidur berniat begini akan dipermudah oleh Allah SWT untuk bangun pada hujung malam. Ini kerana tidur dengan hasrat untuk melakukan ibadah sebagaimana kelazimannya, tidurnya tidaklah tidur mati tetapi sentiasa teringat-ingat akan niatnya.
Adab tidur seterusnya ialah bagi mereka yang sepatutnya ada wasiat lantaran berhutang, maka kewajiban mereka ialah menyediakan surat wasiat.
Kewajiban orang berhutang ialah berwasiat kepada keluarganya, supaya tanggungjawab itu dipikul keluarganya jika dia meninggal dunia.
Jika orang yang berhutang itu mati menyebabkan rohnya terseksa, tidak dapat ke mana-mana dan tidak dapat menikmati fadilat syahid. Hutang yang belum dilunaskan jadi penghalang menikmati segala fadilat itu.
Orang yang mempunyai keyakinan mengenai bahaya hutang yang belum dijelaskan, wajib baginya berwasiat kerana seseorang itu tidak selamat daripada diambil nyawanya oleh Tuhan semasa tidur.
Hendaklah sedar bahawa seseorang ketika tidur mempunyai peluang lebih luas untuk mati, berbanding peluang untuk terus hidup.
Ini kerana apabila seseorang tidur rohnya akan beredar meninggalkan jasad, meskipun jantung dan nadi bergerak darah terus mengalir dan nafas keluar masuk.
Hal tersebut terserah sepenuhnya kepada kudrat Allah SWT. Justeru dalam keadaan tidak sedar kerana roh naik ke atas seperti benar-benar telah mati.
b seterusnya apabila bersiap untuk tidur, seseorang itu bertaubat daripada semua dosa, dan tidur dalam keadaan hati suci bersih dengan semua orang Islam. Tiada hasrat di hati hendak menganiaya orang apabila terjaga esok.
Dengan adab itu dunia akan aman daripada segala kemungkaran dan penyelewengan juga keburukan. Jika seseorang tidak menghormati janji sendiri yang dibuat sebelum tidur, lalu bagaimanakah orang lain akan menghormati dirinya.
50 Tips Ransangan Anak Bijak..
1-BERTENTANG MATA
Ambil peluang ketika mata si kecil terbuka luas dan lihat dalam-dalam anak matanya. Bayi kecil dapat mengenal wajah di awal usia dan wajah anda adalah yang paling penting. Setiap kali dia merenung anda, dia sedang membina memorinya.
2-BERCAKAP-CAKAP DENGANNYA
Walaupun reaksi yang akan anda dapat adalah rupa keliru dan hairan di wajahnya, cuba berhenti sebentar di antara ayat untuk menggalakkan bayi memberi reaksi. Lama-kelamaan, dia akan dapat menangkap ritma perbualan dan mengisi ruang kosong yang anda biarkan senyap tadi.
3-JIKA BOLEH, SUSUKAN DENGAN SUSU BADAN
Lakukan selama mana yang anda boleh. Tahukah anda bahawa kenyataannya adalah, kanak-kanak bersekolah yang disusukan badan semasa bayi tinggi IQnya. Tambahan pula, dengan menyusu badan anda dapat merapatkan hubungan dengan bayi sambil menyanyi, bercakap atau membelai rambutnya..
4-JELIRKAN LIDAH
Kajian menunjukkan bahawa bayi yang baru lahir semuda dua hari dapat meniru pergerakan wajah yang mudah - ia menandakan kaedah penyelesaian masalah di awal usia.
5-HASILKAN BUKU BINATANG
Sekali lagi anda melawat zoo, ambillah gambar-gambar haiwan kesukaannya untuk dialbumkan. Kemudian, 'bacalah' buku itu bersama-sama sambil menamakan haiwan yang dikenali atau membuat bunyi-bunyi binatang dan cerita haiwan.
6-GELETEKLAH BAYI ANDA
Geletek keseluruhan tubuhnya. Ketawa, merupakan langkah pertama dalam perkembangan humour bayi. Permainan seperti 'cak cekur' dan 'labah-labah panjat perigi' dapat mengajar anak bagaimana hendak menjangka apa yang bakal berlaku.
7-TUNJUKKAN PERBEZAAN
Pegang dua keping gambar lebih kurang 8-12 inci jaraknya dari muka bayi anda. Gambar-gambar tersebut seharusnya lebih kurang sama tetapi ada sedikit perbezaan (mungkin salah satunya ada pokok dan satu lagi tiada). Bayi yang masih kecil pun boleh melihat kedua-duanya dengan teliti dan mencari perbezaannya. Ini dapat membantu perkembangan dalam pengecaman huruf dan pembacaan apabila dia besar kelak.
8-BERKONGSI PANDANGAN
Bawalah bayi anda berjalan-jalan dalam pendukung bayi yang boleh diikat ke badan anda dan beritahu semua perkara yang anda nampak kepadanya. "Tengok anak kucing tu." atau "Besarkan pokok ni!" atau "Dengar tak bunyi bomba tu?" - untuk membekalkan bayi anda dengan sebanyak mungkin perbendaharaan kata.
9-NYANYIKAN LAGU UNTUKNYA
Belajarlah sebanyak mungkin lagu yang anda boleh atau rekalah lagu anda sendiri ("mari kita tukar lampin, tukar lampin, tukar lampin....") . Mainkan lagu Beethoven atau Beatles... Ada kajian yang mencadangkan bahawa mempelajari ritma muzik, ada kaitan dengan pembelajaran matematik.
10-GUNAKAN MASA MENUKAR LAMPIN SEPENUHNYA
Gunakan waktu menukar lampin untuk mengajar bahagian-bahagian badan atau pakaian. Ceritakan sambil menukar lampin untuk mengajar bayi menjangka rutin.
11-SENTUH DAN RASA
Simpan sekotak helaian kain dengan tekstur yang berbeza-beza; sutera, kain tuala, kain kapas dan linen. Perlahan-lahan sapukan kain-kain tersebut pada pipi, kaki dan perut bayi sambil bercerita bagaimana rasanya.
12-PERGI MEMBELI-BELAH
Bila anda perlukan rehat daripada menari dan menyanyi, lawatlah pasaraya. Wajah-wajah, bunyi-bunyian dan warna-warna yang ada di sana menghiburkan bayi.
13-BERI KATA KUNCI
Jika anda berkata, "Mak nak buka lampu ni," sebelum menekan suis, anda sedang mengajar sebab dan akibat.
14-BERI KEJUTAN
Kadangkala, gembirakan bayi dengan meniup muka, tangan atau perutnya perlahan-lahan. Cuba tiup sambil membuat corak dan lihat reaksinya.
15-SEDIAKAN BANYAK TISU
Jika bayi anda suka main tisu, biarkan sahaja. Dengan hanya beberapa sen, anda mendapat alat mainan deria yang boleh direnyuk dan digosok. Sorokkan mainan kecil di bawah tisu dan biarkan dia mencari.
16-BACA BUKU
Berulangkali. Saintis telah mendapati bahawa bayi semuda lapan bulan dapat belajar mengenali turutan dalam cerita jika dibaca dua atau tiga kali berturutan. Ia dipercayai membantunya belajar bahasa.
17-MAIN CAK-CAK
Menyorok-nyorok bukan sahaja dapat membuatkan dia ketawa. Bayi anda belajar bahawa objek boleh hilang dan muncul kembali.
18-JANGAN LUPA REHAT
Luangkan masa beberapa minit sehari dengan hanya duduk di atas lantai bersama bayi anda - tanpa muzik, tanpa cahaya terang, tanpa mainan. Hanya biarkan anak meneroka dan lihatlah ke mana dia membawa anda.
19-MAIN DENGAN WARNA
Pilih satu warna dan suruh anak anda cari objek lain yang sama warna sewaktu anda berdua berjalan atau menaiki kereta bersama. Kemudian, suruh pula anak memilih warna untuk anda pula mencarinya.
20-BIARKAN DIA BERMAIN DENGAN MAKANANNYA
Apabila anak sudah boleh makan, hidangkan makanan dengan tekstur yang berbeza - termasuklah kacang pea dimasak, bijirin, pasta atau cebisan daging dikisar. Dia dapat berlatih mencubit dan meneroka deria rasanya.
21-ANGKATKAN SAHAJA
Jika bayi anda asyik menjatuhkan barang mainannya dari kerusi makannya yang tinggi, angkatkan dan beri kembali kepadanya walau berapa kali pun dia melakukannya. Dia sebenarnya sedang belajar dan menguji hukum graviti. Berikan dia beberapa keping kertas atau bola tennis, letakkan besen besar di bawah kerusinya dan biarkan dia menjalankan eksperimennya sendiri.
22-BIAR DIA MEMBEBEL
Bayi anda memahami suara tinggi dan bunyian aneh yang anda buat.
23-LATIHAN MENEKA
Gunakan beberapa cawan plastic dan sorokkan satu permainan kecil di bawah salah satu cawan tersebut dan biarkan dia meneka sambil mencari mainannya.
24-BINA LALUAN HALANGAN
Tingkatkan kemahiran motor dengan meletakkan kusyen sofa, bantal, kotak atau permainan di atas lantai dan kemudian tunjukkan kepada bayi
bgaimana hendak merangkak di bawah, di atas atau di sekeliling halangan tersebut.
25-IKUT RENTAKNYA
Semakin anak anda membesar, dia semakin suka mencuba kreativitinya untuk melihat jika anda benar-benar mengikut apa yang dia lakukan seperti membuat bunyi aneh, merangkak secara terbalik atau ketawa.
26-BUAT MUKA LAWAK
Kembungkan pipi dan suruh anak sentuh hidung anda. Bila dia sentuh sahaja, poof! Tiupkan ke mukanya. Suruh dia tarik telinga anda dan jelirkan lidah. Buat bunyi yang pelik ketika dia memegang kepala anda. Amalkan rutin yang sama tiga ke empat kali dan kemudian tukar caranya untuk membiarkan anak kembali meneka.
27-RASA SEKELILING ANDA
Berjalan-jalanlah di sekitar rumah dengan mendukung bayi. Letakkan tangannya pada tingkap, kain, daun dan objek-objek selamat yang lain sambil me'label' barangan tersebut.
28-CERITAKAN KISAH DONGENG
Pilih kisah dongeng kegemarannya dan tukarkan nama watak utama ke nama anak supaya dia seronok.
29-BAYANGAN WAJAH
Biarkan bayi anda merenung dirinya di dalam cermin. Dia mungkin menyangka yang dia sedang memerhatikan budak comel yang lain, tetapi dia akan menyukainya bila bayi "yang lagi satu" senyum dan melambai padanya.
30-(KADANGKALA) BIARKAN DIA JADI BOS
Bina keyakinannya dengan memberi peluang untuk dia memilih salah satu daripada dua pilihan: mangkuk berlainan warna ketika waktu makan, contohnya. Dia akan tahu bahawa keputusannya diambil kira - dan boleh berlatih menghafal nama warna.
31-GOYANGKAN BADAN
Ajar anak untuk menari twist dan menjerit, mengepak seperti ayam atau berpusing seperti ballerina.
32-JADILAH TAMAN PERMAINAN
Berbaring di atas lantai dan biarkan bayi anda memanjat dan merangkak di atas anda. Ia lebih murah daripada membeli gymnasium mainan dan lebih menyeronokkan. Anda dapat meningkatkan koordinasi dan kemahiran menyelesaikan masalahnya.
33-KIRA SEMUANYA
Kira berapa banyak blok kayu yang boleh anak anda susunkan. Atau jumlah anak tangga dalam rumah anda. Atau jari jemari tangan dan kakinya. Kira dengan kuat dan pasti dia akan mengikut anda.
34-GUNAKAN MASA BERCERITA SEPENUHNYA
Tunjukkan segala gambar dengan terperinci, dan tanya anak anda segala jenis soalan daripada soalan abstrak ("adik rasa kenapa Pekan nak makan telur tembakul ibunya?") sehinggalah ke soalan konkrit ("Pernah tak adik nampak kucing putih?")
35-TUTUP TV
Bayi anda memerlukan interaksi secara berdepan dengan seseorang yang tidak dapat diberikan oleh rancangan TV, walau sebaik manapun rancangan itu mengajarnya.
36-TUKAR PEMANDANGAN
Tukar kedudukan kerusi makannya di sebelah meja yan lain. Anda dapat mencabar memorinya untuk mengingat di mana hidangan diletakkan setiap kali waktu makan.
37-MAIN PERMAINAN MEMORI WAJAH KELUARGA
Ambil gambar wajah-wajah ahli keluarga yang penting dalam kehidupan bayi anda, buat dua salinan bagi setiap satu gambar - dan anda sudahpun ada satu set kad suai padan. Susunkan ia menghadap ke atas di atas lantai, dan bantu anak anda mencari dua kad yang serupa. Semakin bayi anda membesar, anda boleh mengubah cara bermain dengan menyusunnya menghadap ke bawah (menelangkupkannya) .
38-RAKAM VIDEO UNTUKNYA
Tonton video bayi anda mandi buat kali pertama, belajar merangkak, main dengan nenek dan datuk bersama-sama dengannya. Ceritakan kisah video itu untuk mengasah kemahiran berbahas dan memorinya.
39-MAIN HUJAN
Lompat ke dalam lopak air yang besar. Duduk di atas rumput basah bersamanya. Walaupun kotor, ianya menyeronokkan dan merupakan salah satu cara belajar tentang basah dan kering.
40-MENANGKAP SERANGGA
Tunjukkan gambar serangga tidak berbahaya (kumbang ladybird, cengkerik, rama-rama) di dalam majalah atau buku, kemudian pergi ke taman bunga untuk mencarinya.
41-BERGURAU- SENDA
Tunjukkan gambar Pak Cik Mat dan katakan "Ini Ibu." Kemudian akui kebodohan anda dan ketawakan 'gurauan' anda itu untuk membina naluri humour dalam dirinya.
42-MAIN DENGAN PAKAIAN
Biarkan anak anda bermain dengan pakaian lama ayahnya. Cari kembali topi-topi, skarf atau sarung tangan lama. Main permainan olok-olok dan biarkan kreativiti dan imaginasinya membawa anda.
43-AJAR TENTANG ISIPADU
Kumpulkan cawan-cawan atau bekas plastik yang berbeza saiz, dan biarkan anak anda memenuhkan air ke dalamnya. Kadangkala, dia akan hanya menuangkan sehingga setengah penuh. Terangkan kepadanya cawan yang mana lebih besar dan yang mana lebih kecil.
44-HASILKAN ALBUM KELUARGA
Masukkan gambar saudara mara jauh dan dekat, selalulah melihatnya untuk membina memori anak anda.. Sewaktu neneknya menelefon, tunjukkan gambar nenek sewaktu anak bercakap dengannya di telefon.
45-SURUH ANAK MEMBUAT KERJA
Anak kecil boleh membantu mengasingkan pakaian yang ingin dicuci mengikut warna. Dia juga boleh mengasingkan bajunya di antara baju-baju lain.
46-PERGI KE PERPUSTAKAAN
Ambil peluang bila perpustakaan anda menganjurkan sesi bercerita atau tayangan teater boneka. Selain itu, barisan buku-buku juga pasti tidak menjemukan.
47-CONTOHI CARA SESAME STREET
Khaskan satu minggu untuk satu abjad.. Contohnya, baca buku yang bermula dari A, makan makanan A, potong snek mengikut bentuk A, dan tulis huruf A di halaman luar rumah dengan kapur.
48-MAIN BERULANG-ULANG
Cari semula permainan lamanya sewaktu dia masih bayi. Anda pasti kagum dengan kebolehannya mencari cara baru untuk bermain dengan permainan lamanya itu.
49-MAIN "TIRU-MENIRU"
Merangkak dengan kelajuan yang berbeza-beza supaya anak boleh meniru anda. Berhenti sekali-sekala untuk bermain permainan lain.
50-BERCAKAP TENTANG PERASAAN
Peluklah dia waktu dia ingin tidur dan tanya apa yang membuatkan dia gembira atau sedih hari ini. Apa yang membuatnya marah atau bangga? Anda akan bantu dia memahami apa yang telah berlaku dan cara melabel emosi. Aktiviti ini harus dikekalkan sehinggalah dia masuk Universiti nanti
Ahad, 14 Jun 2009
Tutorial bunga cucuk jarum dari blog coretan anak seni..Zilakasim
| Renungan : pesanan yang baik dari seorang rakan | FYI : kisah ini saya salin melalui blog craftsmania... |
Just wanna share with everyone kisah benar yang saya lalui.
Baru- baru ni ketika saya nak ke Surau berdekatan dgn rumah saya untuk sembahyang Isyak, seorang pak cik berjanggut putih dan berjubah putih dari jauh melemparkan senyum kepada saya. Kerana masih ada banyak waktu,saya tunggu pak cik berjanggut putih tu dan bertongkat yang tidak saya kenali itu. Timbul di hati saya untuk jalan seiringan ke surau.
Bila beliau hampir pada saya, kami saling memberi salam. Orangnya sudah berumur. Tiba-tiba, pak cik itu memulakan perbualan. Beliau cakap dalam bahasa Melayu dan Inggeris yang agak baik.
Beliau cakap semua ayat Quran baik dan penting, tapi ada tiga surah yang beliau 'pegang' betul-betul, dan beliau nasihatkan saya supaya pegang betul-betul juga. Beliau juga nasihatkan saya supaya pesan pada anak-anak supaya pegangnya betul-betul.
Pertama, kata beliau, surah Al-Fatihah. Selain penting untuk sah sembahyang, ia juga ada doa minta bantuan Tuhan dan mintak tunjukkan jalan yang betul. Mudah-mudahan dengan 'menjaga' bersungguh-sungguh surah Al-Fatihah, akan terbuka pintu bantuan dan jalan yang betul untuk kita, kata pak cik.
Kedua, Surah Al-Ikhlas. Surah ini, katanya, surah tauhid. Kita mesti ingat Tuhan itu Esa dan semua amalan mesti untuk-Nya. Tak guna buat baik tapi tak ikhlas.
Ketiga, surah Al-Kafirun, kata pak cik. Bahagian ini, menarik sikit. Pak cik tu cakap surah Al-Kafirun ada kena mengena dengan zaman sekarang, zaman globalisasi. Dalam zaman globalisasi, katanya, anak-anak saya mesti diajar supaya pegang betul-betul surah itu. Sebab, dalam zaman globalisasi, anak saya mungkin kena kerja atau belajar sampai ke Amerika atau ke mana-mana. Kalau dia pegang pada surah Al-Kafirun, insya-Allah, dia akan selamat, kata pak cik. Dia akan bergaul dengan orang beragama lain, tapi dia sedar 'untukmu agamamu, untukku agamaku'.
Betul juga, fikir saya. Kemudian, pak cik cakap ada satu lagi perkara yang saya mesti pegang. Orang Islam, katanya, mesti ada tiga kekuatan.
Pertama, kekuatan minda. Minda, kata pak cik, ialah ilmu. Orang Islam mesti ada ilmu, termasuk ilmu moden, ilmu teknologi, ilmu teknologi maklumat (IT) dan sebagainya kerana ilmu-ilmu itu perlu untuk hidup.
Kedua, kekuatan hati. Hati ialah iman, kata pak cik. Hati orang Islam mesti kuat supaya betapa banyak sekali pun ilmunya, dia sedar siapa yang lebih berkuasa. Bila ilmu ada iman, barulah ilmu dan hidup jadi betul. Kalau minda kuat tapi hati tak kuat, maknanya kekuatan tak seimbang dan ilmu boleh rosakkan iman, kata pak cik.
Ketiga, kuat fizikal. Pertama-pertama, kalau tubuh badan lemah, susah ilmu nak masuk dalam minda, kata pak cik. Kalau pun ada ilmu dan ada iman, jika tubuh badan tak kuat, susah nak beramal. Maknanya, kekuatan masih tak seimbang, katanya.
Habis saja pak cik cakap pasal tiga surah dan tiga kekuatan, beliau minta diri dan hilang dari pandangan saya setibanya di surau tersebut.
Terima kasih kepada pak cik berjanggut tu. Sebelum itu beliau berpesan agar saya sebarkan kepada yang lain. Pesanannya memang baik untuk saya sampaikan.
FYI : saya dapat melalui blog craftsmania...
Sebuah kisah untuk renungan kita bersama...
Kereta dihentikan betul-betul di hadapan rumah. Pintu pagar automatiknya terbuka. Perlahan kereta di halakan ke dalam garaj. "Horey! Papa balik!"
Kelihatan anak-anaknya berlari mengiringi keretanya.
"Tepi! Bahaya tau tak?" Jeritnya.
Anak-anak termanggu. Cahaya kegembiraan di wajah mereka pudar. "Aimin bawa adik ke belakang." Arahnya pada anak yang sulong.
Pulangnya petang itu disambut dingin oleh anak-anak. Isterinya turut terdiam bila mendengar anak-anak mengadu tentang papa mereka. "Papa penat. Aimin bawa adik mandi dulu. Mama siapkan minum petang. Lepas minum papa mesti nak main bola dengan kita," pujuk Laila.
Dia yang mendengar di ruang tamu hanya mendengus. Seketika kemudian terdengar hilai tawa anak-anaknya di bilik mandi. Dia bangun."Hah! Main air. Bil bulan ini papa kena bayar dekat seratus. Cepat! Tutup paip tu! Buka shower!" Sergahnya.
Suara yang bergema mematikan tawa anak-anaknya. "Asal saya balik rumah mesti bersepak. Kain baju berselerak. Apa awak makan tidur aje ke duduk rumah?" sambungnya kembali bila isterinya terpacul di belakang pintu.
"Anak-anak pa. Diorang yang main tu. Takpe nanti mama kemas. Papa minum ye. Mama dah siapkan kat taman." Balas isterinya lembut.
"Fail saya kat depan tu mana?""Mama letak dalam bilik. Takut budak-budak alihkan.""Boleh tak awak jangan usik barang-barang saya? Susah tau tak? Fail tu patutnya saya bawa meeting tengahari tadi." Rungutnya sekalipun di hati kecil mengakui kebenaran kata-kata isterinya itu. Suasana sepi kembali.
Dia menarik nafas berat. Terasa begitu jauh berbeza. Dia tercari-cari riuh suara anak-anak dan wajah isterinya. "Laila" Keluhnya Akhirnya dia terlena di sofa.
"Saya nak ke out station minggu depan."
"Lama?" Soal Laila.
"Dalam seminggu."
"Cuti sekolah pun lama. Mama ikut boleh?"
"Budak-budak?"
"Ikut jugalah."
"Dah! Takde! Takde! Susah nanti. Macam-macam diorang buat kat sana. Tengok masa kat Legacy dulu tu"
"Masa tu Amirul kecik lagi." Balas Laila. Wajahnya sayu. Dia masih berusaha memujuk biarpun dia tahu suaminya tak mungkin berganjak dari keputusan yang dibuat. Tak mungkin peristiwa Amirul terpecahkan pinggan di hotel dulu berulang. Anak itu masih kecil benar sewaktu ia berlaku. Lagipun apa sangatlah harganya pinggan itu malahan pihak hotel pun tak minta ganti rugi.
"Bolehlah Pa! Lama sangat kita tak ke mana-mana." "Nak jalan sangat Sabtu ni saya hantar awak balik kampung," Muktamad!
Demikianlah seperti kata-katanya. Anak-anak dan isterinya dihantar ke kampung. Laila tak merungut apa-apa meskipun dia tahu isterinya berkecil hati. Anak-anak terlompat riang sebaik kereta berhenti di pengkarangan rumah nenek mereka. Tak sampai setengah jam dia telah bergegas semula untuk pulang.
Bapa mertuanya membekalkan sebuah kitab lama. "Cuba-cubalah baca. Kitab tu pun abah ambil dari masjid. Dari mereka bakar abah ambik bagi kamu!"
"Manalah saya ada masa.." "Takpe..pegang dulu. Kalau tak suka pulangkan balik!" Dia tersentak dari khayalannya. "Kalau tak suka pulangkan balik!"
Kata-kata itu bergema di fikirannya. Dia rasa tersindir. Tahukah bapa mertuanya masalah yang melanda rumahtangganya itu? Bukan..bukan tak suka malah dia tetap sayang sekalipun Laila bukan pilihannya. Dunia akhirat Laila adalah isterinya.
Cuma.. "Mizi, makan!" Panggil ibunya yang datang menemaninya sejak seminggu lalu. "Jangan ikutkan hati. Yang sudah tu sudahlah."
"Papa! Makan!" Jerit Aiman ,anak keduanya sambil tersengih-sengih mendapatkan dirinya. "Tak boleh panggil papa elok-elok. Ingat papa ni pekak ke?" Aiman menggaru kepalanya yang tak gatal. Pelik! Kenapa papanya tiba-tiba saja marah. Dia berpatah semula ke dapur.
"Awak masak apa?"
"Mama masak sup tulang dengan sambal udang!" jawab Amirul memotong sebelum sempat mamanya membuka mulut.
"Takde benda lain ke awak boleh masak? Dah saya tak nak makan. Hilang selera!"
"Papa nak ke mana?" Soal isterinya perlahan.
"Keluar!"
"Mama dah masak Pa!"
"Awak saja makan!"
"Takpe Aiman boleh habiskan. Cepatlah ma!"
Laila tahu Aiman hanya memujuk. Anak keduanya itu sudah pandai mengambil hatinya. Aimin tersandar di kerusi makan. Sekadar memerhati langkah papanya keluar dari ruang makan. "Kenapa sekarang ni papa selalu marah-marah ma?" Soal Aimin sambil menarik pinggannya yang telah berisi nasi. "Papa banyak kerja agaknya. Dah! Makan." "Abang tak suka tengok papa marah-marah. ." "Adik pun sama. Bila papa marah muka dia macam gorilla kan?"
Kata-kata Aiman disambut tawa oleh abang-abangnya yang lain. Laila menjeling. Di hati kecilnya turut terguris Besar sangatkah dosanya hingga menjamah nasi pun tidak. Kalau ada pun salahnya, apa?
Syamizi menjengah ke ruang dapur. Kosong.
"Laila.." serunya
"Sudahlah tu Mizi! Jangan diingat-ingat. Kerja Tuhan ni tak dapat kita tolak-tolak. Bawak-bawaklah beristighfar. Kalau terus macam ni sakit kau nanti." Kata ibunya yang muncul tiba-tiba.
"Sunyi pulak rumah ni mak,"
"Lama-lama kau biasalah."
Airmatanya menitis laju. "Kalau tak suka pulangkan!" Dia rasa terhukum. Hampir segenap saat kata-kata itu bergema di sekitarnya. Dia rasa terluka. Kehilangan yang amat sangat.
"Papa beli apa untuk Aiman?" Soal Aiman sebaik dia pulang dari outstationnya.
"Beli apa pulak? Barang permainan kan bersepah dalam bilik belakang tu."
"Tak ada lah?"
"Ingat papa ni cop duit?"
Aiman termanggu. Dia berlalu mencari mamanya di dapur. Seketika kemudian rumah kembali riuh dengan telatah anak-anak lelakinya yang bertiga itu mengiringi mama mereka yang sedang menatang dulang berisi hidangan minum petang. Wajah Laila direnungnya. Ada kelainan pada raut itu. Riaknya tenang tapi ada sesuatu yang sukar ditafsirkannya.
"Awak tak sihat ke?"Laila tersenyum. Tangannya pantas menuang air ke cawan. "Papa, tak lama lagi abang dapat adik lagi." Aimin mencelah di antara perbualan kedua ibu bapanya.
Shamizi tersenyum. Jemari isterinya digenggam erat. Tiba-tiba cawan berisi kopi yang masih panas terjatuh dan pecah di lantai. Aiman tercegat.
"Tengok! Ada saja yang kamu buat. Cuba duduk baik-baik. Kalau air tu tak tumpah tak sah!" Tempiknya membuatkan anak itu tertunduk ketakutan. Baju mamanya dipegang kejap.Lengan Aiman dipegangnya kuat hingga anak kecil itu mula menangis. Pantas saja akhbar di tangannya hinggap ke kepala anaknya itu. Laila cuba menghalang tapi dia pantas dulu menolak isterinya ke tepi. Aiman di pukul lagi. Amirul menangis. Aimin mendapatkan mamanya.
"Perangai macam beruk! Tak pernah buat orang senang!"
Laila bangun dari jatuhnya dan menarik lembut Aiman ke dalam pelukkannya. Airmata mereka bersatu. Pilu sungguh hatinya melihat kekasaran suaminya terhadap anak-anak.
"Cukuplah pa. Papa dah hukum pun dia tapi janganlah sebut yang bukan-bukan." Ujar Laila perlahan
"Macamana awak didik budak-budak sampai macam ni teruk perangainya? Tengok anak orang lain ada macam ni? Anak kak Long tu tak pulak macam ni. Panjat sana, kecah barang. Gila apa?" Omelnya kembali.
Shamizi meraut wajah. Bukan kepalang salahnya pada Aiman. Padanya anak itu tak pernah dapat memuaskan hatinya. Ada saja salah Aiman di matanya. Ada saja yang kurang di hatinya terhadap anak-anak dan isteri. Tak cukup dengan perbuatan malah dia begitu mudah melemparkan kata-kata yang bukan-bukan terhadap mereka.
"Tak boleh ke kamu semua senyap? Dalam sehari ni boleh tak diam? Rimas betul duduk dalam rumah ni." Laila menyuruh anak-anaknya bermain di halaman belakang rumah. Memberi sedikit ruang buat suaminya menonton dengan tenang. Malangnya tak lama kemudian kedengaran bunyi tingkap kaca pecah. "Celaka betul!" Sumpahnya sambil menghempaskan akhbar ke meja.
"Abang!"
"Baik awak tengok anak-anak awak tu sebelum saya hambat dengan rotan!
Perangai satu-satu macam tak siuman!" Getusnya kasar.
Akhirnya tingkap yang pecah kembali diganti. Cerita sumpah seranahnya petang itu hilang begitu saja. Laila berubah. Sikapnya yang pendiam menjadi semakin pendiam. Anak-anak juga sedikit menjauh. Tak ada lagi cerita Amirul di tadika. Tak ada lagi kisah Aimin yang cemerlang di dalam sukan sekolahnya. Aiman juga tak lagi mahu memanggilnya makan.
Shamizi terasa puas hati. Barangkali itu saja caranya untuk memberi sedikit pengajaran pada anak-anak.
"Pak Ngah, Eddie nak balik!" Shamizi terpana. Dia mengangguk. "Kak Long balik dulu Mizi. Sudahlah! Kamu muda lagi. Cari pengganti." Alangkah mudahnya. Kalaulah dia boleh bertemu lagi yang serupa seperti Laila. Laila tak ada yang kurang Cuma dia yang tak pernah puas hati. Laila tak pernah merungut. Laila tak pernah membantah. Sepanjang usia perkahwinan mereka Laila tak pernah meminta lebih dari apa yang dia beri. Laila cuma dapat gred B walaupun dia teramat layak untuk mendapat gred yang lebih baik dari A. "Laila"
"Papa nak ke mana hensem-hensem gini?" Dia tersenyum sambil menjeling ke cermin meninjau bayang isterinya yang kian sarat.
"Wangi-wangi lagi. Dating ye?"
"Saya ada makan malam di rumah bos besar. Dia buat makan-makan untuk staff." Ujarnya masih leka membetulkan kolar kemeja batiknya.
"Ikut boleh?"
"Dia tak ajak family. Staff only!" Terangnya sedangkan difikirannya terfikir lain. Kali ni dia akan pergi ke jamuan tu dengan Helmi. Helmi akan turut menumpangkan Maria dan Harlina. Staff yang masih muda dan bujang. "Dalam setahun papa selalu ke jamuan office tapi tak pernah pun bawak kami."
"Leceh kalau ada budak-budak. Bukan tau duduk diam Lari sana sini, panjat itu ini. "
"Papa pesanlah.."
"Nantilah besar sikit." Dalihnya.
"Kalau tunggu besar takut takde peluang. Nanti diorang tu dah tak nak ikut pergi mana pun."
"Lagi senang. Saya kalau lasak-lasak ni buat hati panas je,"
Laila terdiam. "Namanya budak-budak. Anak-anak papa tu lelaki."
"Saya pergi kejap je. Lepas tu terus balik." "Mama tanya sikit boleh?" Dia mengangguk "Bos tak pelawa atau papa malu nak bawa mama dan anak-anak?"
Mereka dia tinggalkan di rumah. Di jamuan tu ramai staff yang membawa keluarga mereka bersama. Pada Shamizi dia mahukan keselesaan sedangkan hakikatnya anak-anak staff yang lain lebih lasak dan nakal. Semeja hidangan untuk anak-anak staff berderai bila ada yang bermain tarik-tarik alas kainnya.
"Never mind. Budak-budak memang macam tu. Kalau tak lasak tak cerdik," ujar Mr. Kwai, tuan rumah.
Shamizi sedikit mengakui kebenaran kata-kata itu. Anak-anaknya pun nakal tapi amat membanggakan dalam pelajaran. Namun dia rasa serba tak kena bila bersama mereka. Bimbang ada yang menyata yang bukan-bukan tentang anak-anaknya yang lasak apatah lagi tentang isterinya Laila. Bimbang dimalukan dengan perangai anak-anaknya. Bimbang jika dikatakan Laila tidak sepadan dengan dirinya. Dia lulusan luar negara sedang Laila cuma perempuan kampung. Tak pandai bergaya seperti staff wanita yang lain.
Betullah jangkaan Laila, dia malu untuk memperkenalkan isteri dan anak-anaknya pada rakan-rakan.
"Kalau tak suka pulangkan!" Kata-kata itu semakin keras di fikirannya.
Pagi itu anak-anak sekali lagi dimaki sebelum ke sekolah. Semata-mata bila Aimin dan Aiman bergelut berebutkan tempat duduk di meja makan menyebabkan air cuci tangan tumpah ke meja. Berangnya tiba-tiba menguasai diri. Kepala kedua-duanya di lagakan sedangkan perebutan itu tidak pula disusuli dengan perkelahian. "Kamu semua ni..kalau macam ni daripada ada elok tak ada. Menyusahkan!"
Laila merenungnya dalam.. Matanya berkaca dan anak-anak ke sekolah tanpa menyalaminya seperti selalu. Laila juga tidak berkata apa-apa sebelum menghidupkan enjin untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Shamizi dapat melihat Laila mengesat airmatanya. Dia terus menghadapi sarapannya. Sejenak dia terpandang hidangan untuk anak-anak yang tak bersentuh. Susu masih penuh di cawan. Roti telur yang menjadi kesukaan anak-anak juga tidak dijamah. Bekal di dalam bekas tidak diambil. Pelik!
Selama ini Laila tak pernah lupa.. "Kalau tak suka pulangkan,"
Kali ini dia benar-benar menangis. Laila dan anak-anak terus tak pulang selepas pagi itu. Hari-harinya tak lagi diganggu dengan gelagat anak-anak. Rumah terus sunyi dan sepi. Tetap dia tak dapat tidur dengan lena. Di halaman belakang hanya ada kenangan. Kelibat anak-anaknya bergumpal dan berlari mengejar bola tak lagi kelihatan. Riuh anak-anak bila mandi di bilik air juga tidak lagi kedengaran. Dia mula dihambat rindu. Hanya ada kesunyian di mana-mana. Hanya tinggal bola yang terselit di rumpun bunga.
Selaut rindu mula menghambat pantai hatinya. Laila..
Benarlah, kita hanya tahu harganya bila kita kehilangannya.Laila terus tak pulang sekalipun dia berjanji untuk berubah. Laila pergi membawa anak-anaknya pagi itu bila kereta mereka dirempuh sebuah kereta lain yang dipandu laju. Laila pergi tanpa meninggalkan satu pun untuknya. Laila pergi membawa Aimin, Aiman, Amirul dan zuriat yang bakal dilahirkan dua bulan lagi..
Dia menangis semahu-mahunya bila menatap wajah lesi anak-anak dan isterinya. Dia meraung memeluk tubuh Laila yang berlumuran darah. Hakikatnya Laila adalah kitab lama itu, lapuk bagaimana pun dipandangan harganya tak terbanding, dan kerana keengganannya Laila dipulangkan.




